Selain tidak pernah sunyi dengan kerancakan arus pembangunan, penduduk di kawasan bandar turut menyaksikan tumbuhnya pasar raya hiper ibarat cendawan selepas hujan.
Fenomena pertumbuhan pasar raya hiper bagaimanapun dilihat mengakibatkan 'sakit kronik' kepada kedai-kedai runcit yang telah wujud sejak sekian lama.
Ada yang berpendapat, kemunculan pasar raya hiper mendatangkan tekanan dan impak yang hebat terhadap industri runcit di negara ini.
"Kehadiran pasar raya hiper banyak membantu konsumer. Mereka menyediakan tempat parkir yang luas, percuma, ruang beli-belah yang bersih dan selesa serta harga jauh lebih murah daripada apa yang boleh didapati di kedai runcit.
"Semua barang termasuk keperluan harian dan barangan basah seperti sayur, ikan dan ayam ada di jual. Begitu juga dengan pakaian dan produk-produk lain semuanya ada di bawah satu bumbung dan ini menyenangkan serta menjimatkan masa pengguna," kata pengguna Saifuddin Iskandar mengenai pandangannya tentang kehadiran pasar raya hiper.
Revolusi industri runcit
Pasar raya hiper ialah sebuah gudang atau gedung besar yang menggabungkan konsep pasar raya dan gedung harian.
"Hasilnya ialah sebuah premis runcit yang sangat besar dan menawarkan pelbagai jenis barangan di bawah satu bumbung termasuk barang runcit dan produk am. Sehubungan itu pasar raya hiper menawarkan apa yang mereka perlukan dalam satu minggu hanya dalam satu perjalanan beli-belah," kata aktivis pengguna Gurmukh Singh.
Menurut Singh industri pasar raya hiper membuka tirai di Malaysia pada 1994 apabila Carrefour membuka premis pertamanya di Subang Jaya, Selangor. Ia diikuti dengan hipermarket Giant Cash & Carry di UEP Subang Jaya. Setahun kemudian, ia mencetus satu revolusi dalam industri runcit di negara ini.
Menurut http://shoppers.bluehyppo.com/hypermarkets.asp sehingga tahun 2003 saja terdapat 22 pasar raya hiper di Semenanjung Malaysia.
Selangor paling banyak dibanjiri pasar raya hiper tetapi beberapa tahun kebelakangan terdapat lebih banyak pasar raya hiper yang baru dibuka serta dalam pembinaan di negeri-negeri Pantai Timur. Walaupun menerima impak dengan kewujudan pasar raya hiper, hayat kedai runcit masih lagi panjang.
"Kedai runcit dan juga pasar mini masih ada tempatnya di kalangan konsumer terutama di bandar dan pekan kecil serta kampung.
"Impak yang lebih ketara dengan kehadiran pasar raya hiper sebenarnya dirasakan oleh pasar raya. Ini kerana pasar raya hiper dan pasar raya menarik pengguna daripada kumpulan yang sama," kata beliau.
Menurut Singh dalam aspek itu pasar raya menerima tekanan kerana pengguna rata-rata berpendapat bahawa barang yang dijual di pasar raya hiper lebih murah berbanding di pasar raya.
"Pengguna di negara ini sensitif pada harga dan ini menyebabkan mereka memilih pasar raya hiper. Bagi kedai runcit, mereka tidak perlu gusar kerana kedai runcit biasanya mempunyai kumpulan pelanggan yang setia."
Post a Comment